Wednesday, March 13, 2013

SEJARAH SKWM

Sejarah awal pendidikan di Kampung wakaf Mempelam bermula di sekitar 1930-an. Pada masa itu,para ibu bapa yang prihatin kepada kepentingan pendidikan anak-anak mereka, sanggup berusaha dengan susah payah menghantar anak-anak mereka Sekolah Rakyat Losong kira-kira 5 kilometer dari Kampung Wakaf Mempelam.

Di atas kesedaran akan kepentingan pendidikan, maka para ibubapa telah mengambil inisiatif demi masa depan anak-anak mereka. Mereka telah bersetuju untuk mendirikan sebuah sekolah di Kampung Wakaf Mempelam ini. Dalam kalangan mereka adalah arwah Yang Berbahagia Datuk Kamal Wangsa Haji Wan Sulaiman bin Wan Daud, Tuan Haji Abdullah, seorang Tok Guru Masjid Merbau Patah, Encik Embong, Encik Tahir bin Ibrahim, Encik Ismail bin Yusof Khatib, Encik Jusoh bin Abdullah dan beberapa orang lagi.

Pada 14 April 1947, impian mereka telah menjadi kenyataan. Pada hari itu, sebuah bangunan sekolah kawasan 40x20 kaki persegi telah mula dibina dan memberi erti besar kepada penduduk Kampung Wakaf Mempelam. Sekolah berkenaan telah diberi nama "Sekolah Rakyat Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu". Sekolah yang didirikan hanya sebuah bangsal yang beratapkan daun nipah tanpa dinding dan berlantaikan tanah. Pada hari pelancaran tersebut, ianya memberi suatu kebanggaan kepada mereka yang hadir.

Pada permulaannya, hanya 27 orang murid sahaja yang berdaftar dan kesemuanya murid lelaki. Guru besar yang pertama adalah satu-satunya guru yang bertugas di sekolah itu. Beliau adalah Tuan Haji Long bin Haji Sulaiman. Pada 1951, Tuan Haji Long bin Haji Sulaiman telah ditukarkan ke Sekolah Melayu Jeram. Encik Sulong bin Mohamad telah mengambil tugas sebagai Guru Besar yang baru. Dari 1951, sekolah tersebut telah dinamakan Sekolah Melayu Wakaf Mempelam dan telah diurustadbir di bawah pihak kerajaan persekutuan.

LATAR BELAKANG

Sekolah Kebangsaan Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu terletak lebih kurang 7 kilometer dari bandar Kuala Terengganu. Ia terletak di tepi jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang. Sekolah ini terletak di bawah Pentadbiran Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Terengganu dan dikelompokkan di bawah Sekolah-sekolah Kuala Terengganu Selatan.

Nama sekolah ini diambil sempena nama kampung Wakaf Mempelam yang penduduknya 100% berbangsa Melayu. Mempunyai 711 murid dari Pra Sekolah hinggalah tahun 6, yang datangnya dari beberapa buah kampung berhampiran iaitu Kampung Wakaf Mempelam, Kampung Tok Jamal, Kampung Gelugor Raja, Kampung Wakaf Beruas, Kampung Panji, Kampung Kubang Tangga, Kampung Pengadang Baru dan Kampung Gong Pauh. Keseluruhan murid sekolah ini adalah murid Melayu dan beragama Islam. Kebanyakan ibu bapa atau penjaga murid bekerja sebagai kakitangan awam, buruh dan berniaga.

Sekolah ini mempunyai lima buah bangunan dari bangunan setingkat hinggalah empat tingkat. Mempunyai sebuah surau, bangunan ICT dan kedai sekolah. Sekolah ini dilengkapi dengan pusat sumber, dewan,kantin dan bilik bimbingan dan kaunseling. Sekolah ini mempunyai dua kawasan yang dipisahkan oleh satu parit awam yang dihubungkan laluan berbumbung.